Sebagai seorang manusia yang normal kita memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan kita. Kehidupan yang dimaksudkan itu terlalu luas, bermula dengan menarik nafas hinggalah kita tidak lagi menarik nafas. ( Meninggal dunia). Aktiviti dalam kehidupan itu memerlukan tenaga yang diambil daripada makanan.
Sukatan makan dan minum yang menjadi panduan hidup orang Mukmin adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang.”Nabi SAW tidak makan sebelum baginda merasa lapar dan lebih dahulu berhenti sebelum sampai ke tahap kenyang atau merasa puas.
Terdapat beberapa adab-adab makan dan minum cara Nabi SAW untuk menjadi panduan kita semua untuk mendapat keberkatan di sisi Allah s.w.t dengan mengikut sunnah baginda
Pertama : Membasuh tangan sebelum makan. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya.”
Makan dengan menggunakan tangan akan mempercepatkan makanan itu hadam di dalam perut kita.
Kedua : Membaca Bismillaah. (Bismillahirahmanirrahim)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah), apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : “Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)”
Ketiga : Membaca doa makan.
Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah satu doa yang diajar oleh Nabi SAW. bila hendak makan: ‘Allahumma barik lana fihi wa ath ighmna khairan minhu’,
maksudnya: ”Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripadanya.”
Keempat : Makan dan minum dengan tangan kanan.
Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia menyerupanya. Termasuk juga apabila kita mengambil lauk pauk di dalam majlis hendaklah menggunakan tangan kanan bukan tangan kiri kerana adat melayu yang mengambil lauk tangan kiri (takut sudu kotor) adalah tidak ikut sunnah.
Kelima : Makan makanan yang mengiringi (makanan yang terdekat). Ketika hendak memulakan makan, mulakan dengan mengambil makanan atau lauk yang paling hampir dengan pinggan kita, jangan sesekali melangkau jauh tangan untuyk mencapai makanan yang kita suka sahaja.
Keenam : Mula makan tepian bukan tengah. Memulakan suapan makanan kita yang diambil dari tepi pinngan iaitu nasi yang berada di tepi sekali, bukan mengambil nasi yang berada di tengah-tengan pinggan, kerana keberkatan itu datangnya dari tengah, maka habiskan di tepi dahulu.
Ketujuh : Duduk semasa makan. Adab makan antaranya ialah makan dengan keadaan duduk yang tertib, duduk ketika makan membezakan antara manusia dengan binatang. Begitu juga makan sambil berjalan.. Makan dan minum secara berdiri adalah bukan daripada adab Islam kerana Nabi SAW menunjukkan contoh makan dan minum baginda secara duduk.
Kelapan : Makan dengan tiga putung jari. Menjemput makanan dengan kurang daripada tiga jari menunjukkan kesombongan, manakala menjemput dengan lebih tiga putung jari pula menandakan buruk makan. Kerana bila makan roti, buah tamar atau kuih muih eloklah gunakan tiga putung jari. Tetapi jika makan nasi perlu menggunakan putung lima jari kerana bersesuaian dengan jenis makanan. Begitu juga makan bubur nasi , bubur kacang atau sop perlu menggunakan sudu pula.
Kesembilan : Tidak mencela atau mengaibkan makanan. Makanan yang dihidangkan kepada kita itu sudah tentunya kadang-kadang bukan dari selera kita tetapi jangan sekali-kali mencela makanan tersebut. ini bermakna mencela orang yang memasaknya juga.
Kesepuluh : Bercakap semasa menjamu selera. Sahabat Rasulullah SAW menggalakkan bercakap perkara yang baik ketika makan, tetapi bukan bercakap ketika ada makanan di dalam mulut ini kerana takut makanan tersebut akan terhambur keluar.
Kesebelas : Makan suapan terjatuh. Kadang-kadang makanan yang kita suap itu terjatuh lalu kiota membuangnya, ini memberi peluang kepada syaitan untuyk merasainya. Makanan yang jatuh itu digalakkan membasuh semula sebelum dimakan kemudiannya.
Kedua belas : Tidak bernafas dalam bekas minum. Dalam kajian sains juga tidak membenarkan bernafas di dalam bekas minuman kita, Ini menyebabkan kita meminum gas yang dilepaskan oleh pernafasan kita kedalam bekas tersebut
Ketiga belas : Tidak makan banyak. makan makanan yang banyak akan menyebabkan hati kita cepat lemah dan kurang untuk terus berfikir.
Keempat belas : Larangan makan sambil meniarap. Dalam kajian sains juga tidak membenarkan makan sambil meniarap kerana gas yang sepatutnya keluar ketika kita makan iaitu sendawa,akan terkumpul dibahagian dada yang akan menyebabkan kita mendapat penyakit gastrik.
Kelima belas : Jangan memerhatikan orang sedang makan. Ini kerana orang yang sedang makan tersebut berasa kurang senang dengan kelakuan kita, menyebabkan ia kurang berselera untuk meneruskan makan.
Keenam belas : Menjempun para tetamu untuk makan, sekiranya kita berada di khalayak ramai eloklah kita menjemput tetamu makan bersama kita sekali.
Ketujuh belas : Sesudah makan menjilat pingan dan jari. Ini kerana keberkatan penghujung makanan itu berada pada jari dan pinngan, bukan bermakna kebulur.
Kelapan belas : Larangan bangun meninggalkan makanan sehingga hidangan di angkat. Sekiranya kita makan bersama rakan atau Jemaah, jangan meninggalkan tempat makan sehingga semuanya selesai makan.
Kesembilan belas : Memuji dan menyanjungi Allah. Mengucap syukur dan Alhamdulillah kerana Allah telah memberikan rezeki pada hari tersebut. biar pun tidak seberapa tetapi lebih baik ada daripada tiada.
Kedua puluh : Membasuh kedua tangan selepas makan. Setelah selesai makan perkara yang paling penting ialah membasuh tangan selepas makan.
Bukan susah untuk kita mengamalkannya kerana setiap hari telah pun kita melaksanakannya. Cuma kita buat sesuatu perkara itu, kadang-kadang bukan dengan ilmu tetapi dengan mengikut apa yang orang lain buat. Membuat sesuatu kebaikan dengan ilmu lebih nayak pahala daripada membuatn kebaikan tanpa ilmu. Oleh itu belajar dan tuntutlah ilmu setiap masa dan sepanjang hayat.